Lelaki Dari Sweden Ini Memakai Hijab Labuh Ke Tempat Kerja Tanda Solidariti Buat Wanita Islam
Seorang lelaki dari Norrkoping, Sweden telah bertindak memakai sehelai tudung ke tempat kerja sebagai tanda protes terhadap keputusan yang dianggap berat sebelah dan kontroversi oleh Mahkamah Keadilan Eropah baru-baru ini.
Göran Mårtensson berdiri di belakang kaunter pusat komuniti sebuah badan bukan kerajaan, IOGT-NTO sambil menyapa tetamu yang datang. Rata-rata tetamu yang datang terkejut dan berasa lucu melihat penampilan Göran. Namun, beliau menyatakan bahawa tindakannya itu bukanlah dibuat sebagai bahan ketawa atau lawak jenaka. Ia membawa mesej yang lebih serius berkaitan wanita Islam yang berada di seluruh Eropah.
Ini berpunca daripada kejadian pemecatan seorang wanita Muslim di sebuah syarikat Belgium hanya kerana dia berkeras untuk memakai tudung. Setelah dibicarakan, mahkamah Keadilan EU bagaimanapun telah memberi keputusan bahawa majikan tersebut tidak bersalah dalam hal itu. Keputusan mahkamah ini sekaligus membuka ruang kepada majikan-majikan lain di seluruh Eropah untuk mendiskriminasikan wanita Muslim yang ingin memakai hijab dan secara tidak langsung memberi keizinan untuk 'mengharamkan' pemakaian hijab di tempat kerja.
Göran Mårtensson yang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah itu telah membuat satu aksi protes dengan mengenakan sehelai selendang ke tempat kerja. Beliau masih mampu menggoreng hamburger, membuat wafel dan membersihkan pusat komuniti itu walaupun sambil memakai tudung. Menurut Göran, hijab hanyalah merupakan cara berpakaian semata-mata dan tidak mempengaruhi perkara lain langsung. Ia sama sahaja seperti memakai barang kemas ataupun baju.
Setiap hari, Göran yang menganut agama Kristian bertembung dengan ramai warga Somalia dan Arab yang beragama Islam. Beliau tidak nampak bagaimana mereka yang mengenakan tudung ini boleh dianggap berbahaya dan beliau berasa pelik mengapakah masyarakat di sana masih suka mempersoalkan hal remeh seperti pemakaian tudung walaupun sudah masuk tahun 2017.
Menurut Göran, masih banyak lagi isu lain yang lebih besar dan penting untuk diperhalusi berbanding pemakaian hijab.
0 Response to "Lelaki Dari Sweden Ini Memakai Hijab Labuh Ke Tempat Kerja Tanda Solidariti Buat Wanita Islam"
Post a Comment